Kementerian Pelajaran akan mencadangkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan bagi membolehkan pelajar di negara ini menduduki hanya satu peperiksaan awam sepanjang 11 tahun persekolahan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata cadangan pemansuhan peperiksaan itu kepada kerajaan akan mengubah sistem pendidikan negara yang kini terlalu berorientasikan peperiksaan menyebabkan matlamat melahirkan modal insan serba boleh yang mempunyai keterampilan tinggi gagal dicapai. Bagaimanapun katanya, kedua-dua peperiksaan itu mungkin juga diteruskan, tetapi bukan lagi berstatus peperiksaan awam seperti sekarang, sebaliknya dijadikan penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah saja.
Jika terlalu menjurus kepada peperiksaan, ia akan menyebabkan matlamat ke sekolah untuk menuntut ilmu, lebih kreatif dan menambah pengetahuan secara lebih holistik tidak akan dicapai sepenuhnya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, cadangan mengekalkan satu peperiksaan saja pada peringkat sekolah itu juga berkaitan dengan langkah kementerian untuk merombak sistem pendidikan dan mengubah bentuk kokurikulum di peringkat sekolah. Beliau berkata, pada masa ini, sistem pendidikan yang terlalu cenderung dengan peperiksaan menyebabkan guru terlalu fokus untuk mencapai kecemerlangan peperiksaan dan pelajar terlalu menumpukan usaha untuk cemerlang dalam peperiksaan awal saja. Bagaimanapun Muhyiddin berkata, pihaknya tidak tergesa-gesa untuk membuat keputusan memansuhkan peperiksaan itu kerana perlu mengkaji implikasi lain selain mengalu-alukan pandangan semua pihak termasuk warga pendidik, pelajar dan masyarakat. Katanya, kajian pihaknya juga mendapati ada negara lain yang tidak mempunyai banyak peperiksaan seperti di Malaysia, malah ada sesetengah negara yang hanya mempunyai satu peperiksaan saja pada peringkat sekolah. Beliau berkata, pengurangan peperiksaan di peringkat sekolah itu membolehkan pelajar mempunyai banyak masa untuk menumpukan kepada mata pelajaran tertentu dan kegiatan sukan, sekali gus memberi kesan positif kepada keseluruhan cara pendidikan pelajaran.
sumber : Utusan Malaysia
PANDANGAN: Selama ini peperiksaan awam ini saya tidak pernah pertikaikan. namun apabila timbulnya isu pemansuhan peperiksaan awam bagi UPSR dan PMR terbukanya minda saya untuk menilai sejauh manakah peperiksaan ini penting kepada pembangunan insan serta kepada negara. seperti apa yang telah dikatakan oleh Timbalan Perdana Menteri kita, peperiksaan ini menutup minda para pelajar untuk lebih kreatif dan pengetahuan mereka hanyalah sekadar apa yang mereka pelajari bukan dengan cara yang lebih holistik. saya amat bersetuju dengan pemansuhan ini. Namun sebaiknya perkara ini dikaji terlebih dahulu dengan lebih terperinci terutamanya kepada pihak ibu bapa yang bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka. Mencadang ini bukan lah dalam bidang saya. namun saya merasa tanggungjawab untuk melihat generasi mendatang membangun sebagai sebuah generasi yang benar-benar berkualiti kepada negara dan masyarakat adalah wajib.....oleh itu saya menyeru kepada semua sahabat-sahabat untuk kita sama-sama memikirkan pro dan kontra cadangan ini agar keputusan yang akan dibuat nanti akan menjadi keputusan yang terbaik dalam melahirkan masyarakat Malaysia yang matang dan hebat.... semua cadangan ini tidak ditujukan kepada sesiapa.ini cuma sekadar cadangan sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai hak bersuara dan memberikan pendapat kepada semua.

No comments:
Post a Comment